5 Tuntutan keadilan untuk ITBM, Petisyen gesa kerajaan Malaysia agar ITBM kembali beroperasi

Organisasi yang bertanggungjawab untuk mewarnai industri buku di Malaysia dengan memberi fokus kepada buku-buku terjemahan dari luar negara atau mengeksport buku-buku tempatan ke terjemahan bahasa Asing, ITBM kini dalam keadaan yang gawat.

ITBM, Institut Terjemahan & Buku Malaysia merupakan sebuah syarikat berhad berkaitan kerajaan dan modal asas dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Pentadbiran ITBM diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Satu petisyen telah dikeluarkan oleh warga prihatin menggesa kerajaan Malaysia supaya ITBM boleh kembali beroperasi biasa dengan penambahbaikan yang munasabah. 5 tuntutan dalam petisyen ini dibuat supaya pembangunan pendidikan dan perbukuan terus meriah dan sebagai teras keilmuan untuk anak bangsa Malaysia.

  1. Mendapatkan jaminan bahawa kakitangan lantikan sedia ada yang berkhidmat bersama ITBM mendapat hak, tuntutan dan kebajikan yang sewajarnya tertakluk pada peruntukan Akta Pekerja 1955 serta kelebihan-kelebihan lain yang ditawarkan majikan.
  2. Menyelamatkan ITBM dengan mendesak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengekalkan fungsi penerbitan buku sastera dan terjemahan sebagai antara teras utama.
  3. Menolak sebarang usaha mengecilkan organisasi tanpa memberi peluang kepada ITBM menyusun semula operasinya dan memberi peluang kepada ITBM untuk membentang pelan perlaksanaan perniagaannya.
  4. Menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia melindungi ITBM dengan memastikan Kementerian Kewangan memberi sokongan dana selama tiga tahun demi memastikan ITBM mampu berdikari selepas tempoh tersebut.
  5. Mendesak sokongan GLC dan agensi kerajaan menghulurkan bantuan segera dengan membeli buku dalam stok ITBM sebagai langkah segera membentuk aliran tunai ITBM.

Sehingga hari ini, ITBM masih lagi belum mengeluarkan kenyataan media secara rasmi. Kami telah menghubungi pihak ITBM untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut berhubung kesahihan petisyen ini, walau bagaimanapun pihak perhubungan awam ITBM tidak menjawab dakwaan petisyen ini.

ITBM bertanggungjawab memperkasa dan memperbanyak penerbitan karya asli penulis tempatan bagi merancakkan industri perbukuan negara selaras dengan perluasan mandatnya yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 16 Disember 2011.

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini