6 Orang muda yang mengasaskan UKM, paling muda 28 tahun

18 Mei 2020 nanti Universiti Kebangsaan Malaysia akan menyambut ulang tahun ke 50 penubuhannya. Sudah separuh abad UKM menunjangi urusan keilmuan di Malaysia.

Apa yang menarik tentang kisah penubuhan UKM pada 18 Mei 1970?

Banyak sekali. Antaranya:

Pertama, UKM wujud dari perjuangan rakyat bawahan. Orang kampung dan desa yang mahu UKM diwujudkan. Mereka mahu anak-anak mereka dapat belajar sehingga ke universiti. Mereka memasang impian untuk UKM memajukan kehidupan anak-anak mereka. Rakyat sumbangkan simpanan mereka untuk menubuhkan UKM. Ada yang jual barang kemas. Ada anak kecil kirimkan wang sekolahnya untuk menubuhkan UKM. Jasa mereka mahal harganya. Terlalu bernilai. Sebab itu UKM adalah sebuah universiti rakyat. Jangan lupa sejarah ini.

Kedua, kewujudan UKM adalah atas asas memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bukan sekadar menjadi jagoan ilmuwan dalam negara tetapi UKM bertanggungjawab menonjolkan dan membangunkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Jangan lupa amanah ini.

Satu lagi hal yang menarik tentang sejarah penubuhan UKM ialah tentang para pengasasnya. Ini yang menarik tapi jarang disentuh orang. Ramai pensyarah, alumni dan pelajar UKM sendiri pun tidak tahu kisah ini. Kisah anak muda dan UKM.

Apabila saya dilantik sebagai orang yang bertanggungjawab dalam membina agenda kepimpinan dan pengurusan bakat mahasiswa oleh pihak pentadbiran UKM baru-baru ini, saya kembali membaca tentang sejarah penubuhan UKM. Saya ingin mulakan agenda kepimpinan mahasiswa UKM atas asas menghayati sejarah UKM.

Mengapa?

Kerana saya yakin kepimpinan dan bakat mahasiswa yang ingin UKM bangunkan mestilah beracuankan UKM, bercitrakan UKM dan berjatidiri UKM. Semuanya mesti bermula dari menghayati sejarah penubuhan UKM.

Baiklah. Apa yang menarik tentang kisah para pengasas UKM ini?

Yang paling ketara hampir semuanya adalah kalangan orang muda. Bayangkan hebatnya orang muda ini yang telah menggerakkan gagasan idea untuk penubuhan sebuah universiti berbahasa Melayu yang telah dimulakan sejak tahun 1923. Pasukan ini telah mula bekerja sejak tahun 1968.

Siapa mereka dan berapa usia mereka ketika itu?

1. Prof. Emeritus Tengku Dato’ Shamsul Bahrin ( 28 tahun)
2. Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid (30 tahun)
3. Datuk (Dr.) Zainal Abidin Wahid (35 tahun)
4. Dr. Syed Husin Ali (32 tahun)
5. Prof. Emeritus Datuk Dr. Ghazali Abdul Rahman (30 tahun)
6. Datuk Mohd Zain Abdul Majid (30 tahun)

Siapa pula pengurusan tertinggi UKM sejurus ditubuhkan pada 18 Mei 1970?

1. Naib Canselor: Prof. Emeritus Datuk Dr. Rashdan Baba ( 35 tahun)
2. Pendaftar : Tun Abdullah Mohd Salleh (43 tahun )
3. Bendahari : Datuk Megat Abdul Rahman Megat Ahmad ( 31 tahun)
4. Ketua Pustakawan : Abdul Aziz Shaik Mydin (30 tahun )

UKM dibina atas tenaga anak muda. Mereka ketika itu berjiwa besar. Akhirnya, ketika UKM akan mencecah usia 50 tahun, lihatlah di mana UKM sekarang.

Para pengasas UKM telah membuktikan bahawa orang muda mampu melakukan sesuatu yang besar dan hebat untuk masyarakat. Bagaimana dengan anak muda mahasiswa UKM hari ini? Bukankah sekarang masanya untuk anda pula memimpin perubahan?


Encik Anuar Bin Ahmad merupakan pensyarah Fakulti Pendidikan UKM telah dilantik sebagai Pengetua Kolej Ibu Zain (KIZ) UKM pada 2002 sehingga kini. Di bawah kepimpinan beliau, KIZ telah berjaya ditransformasikan menjadikan sebuah ‘Kolej Kediaman Premier’ yang pertama di kalangan IPTA. Seterusnya mulai Julai 2018, beliau yelah diberi kepercayaan untuk memimpin Pusat Aktiviti Pelajar UKM (PUSANIKA-UKM). Sepanjang perkhidmatan sebagai pengetua di KIZ, beliau banyak terlibat dengan pelbagai jawatankuasa Pembangunan Fizikal UKM. Sejak tahun 2017 hingga kini , beliau juga telah dilantik sebagai Panel Teknikal untuk penyediaan dokumen Pelan Induk Fizikal UKM.

Sumber: Facebook

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini