Berdepan risiko dibuang kerja sewaktu Covid-19? Ini manual untuk melawan para bos yang rakus!

Ditulis oleh

Orang Kecil Kota Kuala Lumpur (OKKKL)

Keadaan para pekerja, bukan sahaja di Malaysia, malahan seluruh dunia, semakin meruncing sekarang. Di Malaysia, pekerja kita berdepan dengan risiko penggangguran yang tinggi serta kehilangan punca pendapatan. Kita mengalami kemungkinan yang sukar, sekaligus memerlukan kita bersama-sama untuk menuntut hak untuk semua bagi menjamin sebuah kehidupan yang bermaruah.

Berikut merupakan sedikit catatan oleh seorang pekerja di sebuah syarikat firma senibina tersohor di Malaysia, tentang bagaimana mereka bersama-sama berganding bahu untuk menuntut sebuah keadaan serta hak kerja yang lebih manusiawi. Ingat, pekerja bersatu, tidak akan ditipu!

Beberapa minggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan di seluruh negara, majikan kami iaitu sebuah firma perundingan terkenal di Malaysia langsung mengumumkan polisi yang sangat mengejutkan. Gaji kami akan dipotong sehingga 30% dan sebahagian besar daripada kami akan berdepan risiko dibuang kerja! Gila! Emel tersebut turut dikepilkan dengan sebuah mesej peribadi dari pihak CEO sendiri yang kononnya menyesali tindakan untuk memotong serta memberhentikan staf dengan kata-kata penuh motivasi dan solidariti. 

Sebaik sahaja emel ini tersebar luas, sekumpulan staf muda mula bertindak dan menyusun untuk melawan majikan kami secara gerila. Hasilnya, kami berjaya memaksa barisan CEO kami untuk tampil di hadapan ratusan pekerja melalui Zoom. Tuntutannya hanya satu  – untuk menjawab kecurigaan kami tentang tindakan mereka! Pemberhentian pekerja yang dirancang oleh mereka sebelum itu berjaya dihentikan dan kami, pekerja di firma itu berjaya untuk memaksa mereka memikirkan semula pemotongan gaji kami berkadaran dengan apa yang dilalui sekarang. Akhirnya, kompromi dapat dicapai di mana potongan antara 10%-15% untuk majoriti pekerja dan 20% maksima buat mereka yang bergaji tinggi.

Mengapa kami memilih untuk bertindak?

Pastinya ada yang menyoal tindakan kami ini. Apakah ianya sesuatu yang gila untuk para pekerja memilih untuk memaksa majikan untuk tidak memotong gaji serta tidak membuang pekerja? Bagaimana mahu jalankan bisnes kalau belanjan overhed bulanan tak tertanggung?

Ini persoalan-persoalan yang sering dilontarkan kepada kami saatnya baru memulakan gerakan untuk menuntut hak sekerja di dalam syarikat ini. Ya, benar. Waktu krisis, kita memang harus membuat pengorbanan. Yang menjadi isu di sini ialah siapa yang patut berkorban? Adakah cukup untuk hanya pekerja yang berkorban? Di sinilah bermulanya titik-tolak perbincangan kami. Majikan kami yang selama ini membuat untung secara purata RM2 juta sebulan, tiba-tiba tidak mempunyai wang untuk mengharungi krisis? 

Menambah musykil lagi, syarikat kami melalui rekodnya secara terus terang telah memberitahu bahawa mereka mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya untuk tiga hingga empat bulan sewaktu pra-krisis yang lalu. Ini belum ditambah lagi dengan wang simpanan untuk pelbagai aktiviti syarikat dan serta belanja CSR. Secara kasarnya, simpanan yang dipunyai oleh syarikat dipercayai boleh mengharungi hampir 8 bulan hingga setahun. Ini tidak mengambil kira jutaan ringgit yang telah dikaut oleh pemegang saham syarikat setahun sebelum itu (yang cuma hanya tiga orang!).

Jadi dalam situasi ini, pemotongan gaji secara besar-besaran hanya bermakna satu sahaja: di waktu krisis ini syarikat cuba memaksa para pekerja untuk “membayar” kepada mereka sewaktu sumber kewangan mereka mengering. Kadar potongan sebesar satu pertiga gaji oleh para pekerja bermakna para bos boleh terus mengekalkan kekayaan mereka tanpa membuat pengorbanan sebesar pengorbanan para pekerjanya. Inilah sebenarnya mengapa kami, para pekerja untuk mengambil tindakan dengan senjata abad ke-21, tidak lain tidak bukan – WhatsApp!

Bagaimana kami melakukannya?

Kita sedar yang Malaysia merupakan sebuah negara yang paling lemah undang-undang dalam mempertahankan hak pekerja. Akta Kerja 1955 (Employment Act atau EA) hanya memberi hak kepada pekerja yang bergaji RM2,000 ke bawah. Syarikat perunding seperti firma kami hanya mempunyai segelintir sahaja pekerja yang dilindungi oleh Akta ini. Untuk pekerja lain, semuanya bergantung kepada Kontrak Kerja yang ditandatangani secara individu. Hal ini mengakibatkan semua orang menjadi terasing dan tidak berkomunikasi antara satu sama lain apabila majikan bertindak tidak adil.

Secara spontan, sekumpulan pekerja di firma ini membuat sebuah Whatsapp group yang terdiri daripada 15 rakan sekerja yang dipercayai. Kumpulan utama ini mula mengagihkan kerja untuk memahami tiga akta yang relevan dengan keadaan kami: Akta Kerja 1955, Akta Kontrak 1950 dan akhirnya Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Pastinya, bahasa perundangan di dalam Akta ini cukup mengusutkan kami namun ianya membawa banyak kebaikan dalam memberi kesedaran kami hak kami. Sekaligus, sewaktu melontarkan soalan kepada majikan, kami mampu untuk bertanyakannya mengikut Akta serta ‘bahasa’ perundangan. 

Untungnya ada beberapa daripada ahli kumpulan ini sanggup menelaah akta-akta ini dan seterusnya mereka menjadi titik rujukan apabila kami cuba memahami isu potongan gaji dan pembuangan pekerja. Begitupun, terdapat beberapa rumusan yang baik di dalam internet, antaranya “Employment FAQ for MCO” oleh Zul Rafique & Partners dan “Guide For Employers Post MCO” oleh Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak. Kebanyakan rumusan Akta-akta ini bertujuan untuk membantu majikan namun, sebenarnya lebih baik untuk para pekerja!

Setelah jelas dengan hak-hak setiap pekerja yang tidak termaktub di bawah Akta Kerja seperti kami ini, kami terus menghubungi rakan-rakan sekerja yang lain dan menggalakkan mereka untuk menubuhkan Whatsapp group masing-masing. Secara tidak langsung kami telah menubuhkan sebuah gerakan yang tidak berautonomi dan terdiri daripada banyak kumpulan-kumpulan kecil. Taktik ini merupakan sebuah cara melindungi pekerja daripada dituduh atau diancam oleh pengurus-pengurus pertengahan yang tentunya pro-majikan. 

Sehingga ke hari ini, majikan kami masih tidak sedar akan gerakan ini. Kumpulan-kumpulan ini terus memberi maklumat kepada setiap pekerja tanpa mempunyai sebuah organisasi yang besar. Semuanya dilakukan secara autonomi dan sukarelawan. Penjelasan tentang Akta dan hak pekerja akhirnya melahirkan satu gelombang kemarahan yang sangat jelas kepada majikan.

Setelah itu, kumpulan utama yang memulakan gerakan itu tadi terus bertindak. Kami berbincang strategi sekian lama dan bersetuju bahawa ianya perlu dilakukan dengan tidak membongkarkan gerakan ini. Strateginya ialah untuk melancarkan emel kepada beberapa individu secara berkala – satu atau dua emel setiap jam.  Emel ini kemudiannya disalin kepada semua sebagai satu “acara” dan dapat disedari oleh semua termasuk bos.

Emel-emel ini kemudiannya mempersoalkan tindakan majikan dengan merujuk kepada Akta-akta yang telah dipelajari sebelum ini. Setiap emel ini dikarang supaya melahirkan suasana tegang tetapi tanpa mengunakan bahasa yang kasar. Setelah 24 jam dihujani emel tersebut, majikan kami mula merasakan tekanan.

Di dalam mesyuarat projek atau kerja, setiap wakil kumpulan akan mengakhiri mesyuarat tersebut dengan mengutarakan tuntutan yang terdapat di dalam emel tersebut kepada pengurus-pengurus – yang menjadi orang tengah kepada majikan kami. Berikutan suasana tegang yang telah kami ciptakan itu, kami berjaya memberi tekanan hebat kepada bos yang biasanya terpelihara daripada sentimen orang bawahan. 

Akhirnya bos kami dipaksa untuk hadir dalam sebuah perjumpaan dengan hampir 200 pekerja melalui Zoom. Perjumpaan ini bertujuan untuk memberi tekanan kepada bos secara langsung tanpa dilindungi oleh pengurus-pengurus dan orang tengah di dalam syarikat. Tidak ramai manusia yang sanggup berdepan dengan ratusan orang tanpa merasai semangat setiakawan yang membuak-buak dari pekerja mereka. Dengan ini, kami berjaya mendapatkan kompromi dari syarikat:

  1. Tiada pemberhentian tanpa sebab
  2. Syarikat harus membuat potongan daripada dana mereka yang sedia ada dan tidak boleh mengharapkan potongan gaji semata-mata.
  3. Potongan gaji harus bersesuaian dengan gaji dan tidak boleh melebihi 20%.

Selepas insiden ini, syarikat kami telah mula sedar untuk menghormati hak pekerja dan memahami bahawa persetujuan pekerja amat penting dalam mengharungi krisis ekonomi ini. Emel-emel yang diterima dari mereka kemudiannya menjadi lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya melanggar kontrak pekerja tanpa merujuk undang-undang Malaysia.

Perubahan ini bukanlah disebabkan bahawa para majikan lebih sedar akan etika dan moral semata-mata tetapi cuaknya berdepan dengan para pekerja yang peka tentang hak mereka secara beramai-ramai. Kami berterusan menuntut pengorbanan ini harus dikongsi bersama dan bukannya dibebankan kepada para pekerja semata-mata.

Buat para pekerja, jangan ditunggu untuk ada yang mahu menyelamatkan kita. Kita, para pekerja perlu memulakannya sendiri. Bermula secara kecil-kecilan, pelajari undang-undang, tubuhkan kumpulan-kumpulan kecil dan kesatuan sekerja di serata syarikat. Mulakan pada hari ini, kerana hari-hari esok adalah milik kita!

Kredit: Malaysia Muda

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini