Bulan Kekalahan dan tidak lagi REVOLUSIONER

Hari Pekerja, Hari Jururawat, Hari Bomba dan Hari Guru. Semuanya jatuh pada tanggal Mei. Makanya, setiap tahun bulan Mei seharusnya menjadi bulan yang revolusioner. Satu-satunya bulan yang kita mengangkat pekerja daripada pelbagai sektor atau institusi. Namun, sambutan-sambutan ini seringkali hanya semata-mata untuk cuti umum ataupun sekadar “menghargai” sumbangan dan pengorbanan pekerja kepada pembangunan negara.

Persoalannya adakah penghargaan ini mampu menyelesaikan masalah ekonomi para pekerja? Adakah adil di saat para pemodal atau para pemerintah menjadi kaya dan mendapat keuntungan, sedangkan para pekerja cuma dibayar sejam lima ringgit hingga kesepuluh ringgit?

HAK MEREKA, HAK MANUSIAWI

Dalam sejarah kemanusiaan, isu keadilan merupakan antara isu yang paling menekan dalam setiap peradaban. Dalam setiap peradaban mesti ada kelas pemerintah atau kelas atasan bermakna akan adanya kelas pekerja atau kelas bawahan. Kelas-kelas ini menggambarkan ketidakadilan dimana satu golongan mendapat kelebihan, kekayaan dan kesenangan sedangkan yang satu lagi ditindas, diambil tenaga mereka. Malah jika golongan kedua ini terbukti mereka ditindas, mereka dipaksa untuk membuktikan yang mereka mempunyai hak untuk menuntut keadilan mereka.

Contohnya, sering kali kita mendengat kes-kes dimana bos-bos besar sesuatu syarikat mendapat keuntungan yang sangat banyak. Antara berita terkini adalah syarikat Amazon yang dikatakan mendapat lebih 400 billion sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini kerana peningkatan pembelian barangan online. Tetapi berita tentang pekerja-pekerja Amazon tidak diberikan gaji atau diberikan gaji yang amat rendah sangat sering keluar di portal-portal berita.

Sayangnya penindasan-penindasan ini tidak diangkat, malah pekerja terpaksa membuktikan dan melalui jalan-jalan keadilan yang panjang untuk mengembalikan hak-hak mereka. Ini baru cerita tentang Amazon, belum lagi mencerita kan tentang bagaimana Pos Laju Malaysia yang tidak memberikan bonus, memberikan gaji rendah, dan hal-hal keselamatan kaki tangan tidak diutamanakn.

Tetapi apa yang lebih membebankan adalah, sesetengah antara mereka yang mengangkat isu penindasan sering merasakan jika pekerja tidak mendapat gaji barulah dianggap penindasan. Sebaliknya jika mereka mendapat gaji tetapi gaji tersebut rendah dan tidak setanding dengan beban kerja-kerja mereka, itu dianggap tidak bersyukur atau pekerja bersikap malas sebab itu mereka layak dipotong gaji dan sebagainya.

Maka, seolah-olah penindasan itu diukur pada mana yang lebih teruk. Jika tidak ia bukan lagi menindas tetapi ‘faktor ekonomi’, ‘majikan tidak mempunyai wang’, atau apa sahaja. Jadinya sering kali apabila mereka mahu memikirkan tentang ketidakadilan, yang difikirkan utamanya adalah majikan daripada pekerja sendiri. Seolah-olah majikan itu sendiri yang berada dalam masalah apabila harta mereka semakin berkurangan tetapi bukan masalah jika pekerja tidak mampu membayar rumah atau tidak mampu membeli makanan.

Jadi soalan seterusnya selepas membicarakan tentang ketidakadilan adalah, mengapa isu ketidakadilan ini berlaku? Perkara ini diketengahkan oleh saudara Hazman Baharom di dalam bukunya Perihal Keadilan iaitu tentang Keadilan Pengagihan.

TENTANG KEADILAN PENGAGIHAN

Pertama-tama sekali dalam menyelesaikan ketidakadilan pengagihan ini adalah idea tentang ketidakadilan itu harus jelas. Bahawa yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Misalnya, disaat negara dilanda pandemik COVID-19, ubat-ubatan di pasaran meningkat sehingga para pemilik kilang ubat atau farmasi membuat keuntungan yang sangat banyak. Persoalannya, di saat keuntungan para pemodal meningkat, adakah cara hidup para pekerja menjadi lebih baik?

Sebaliknya, para pekerja cuma dianggap sebagai “hero”. Seolah-olah penglabelan mereka ini mampu membayar tenaga kerja mereka yang berlipat kali ganda, nyawa yang mereka pertarungkan menjadi barisan hadapan bagi krisis, juga paling tersial sekali adalah seolah-oleh penglabelan ini mampu mengenyangkan perut-perut mereka dan keluarga mereka yang lapar. Jadi apa yang mahu disampaikan disini adalah, penglabelan ini tidak cukup jika para pemodal tidak meningkatkan bayaran gaji para pekerja mereka.

Jadi, jika premis di atas ini dipersetujui dan difahami bahawa ada ketidakadilan pengagihan, maka seterusnya adalah ke mana kita mahu menyalurkan kemarahan ketidakadilan ini? Di sini terletak pada pembaca sendiri, sama ada mahu mempercayai Althusser mahupun Stiglitz atau Rawls sendiri. Althusser memandang bahawa para kapitalis adalah satu komponen yang penting dalam ideolog para penguasa.

Mereka tidak hanya mengfokuskan untuk mengaut keuntungan di dalam sektor ekonomi tetapi juga mengawal politikus demi kekuasaan dan menentukan ideologi sebuah negara – terjadinya pendidikan yang bermatlamat untuk menghasilkan pekerja yang makan gaji, media yang mengukuhkan konsumerisme dan pihak polis yang sentiasa menjaga kepentingan kelas kapitalis dan politikus yang mudah dilobi.

Stiglitz pula mengatakan bahawa masalah pasaran dan ketidakadilan ini tidak bergerak sendiri dan tumbuh didalam keadaan yang vakuum melainkan ada institusi-institusi yang wujud dan menentukan orientasi dan bagaimana keadaan pasaran pada waktu itu – hal ini dikuatkan lagi oleh Rawls bagaimana institusi politik atau institusi pemerintahan inilah yang membentuk struktur asasi masyarakat. Apa pun yang penting disini adalah mereka ini lah yang mempunyai kemahuan untuk mengawal segala yang ada dengan pergerakan dan kekuasaan yang mereka ada dan sering sekali untuk mencapai keadaan ini hal-hal kemanusiaan itu tidak diendahkan.

BERGERAK KE HADAPAN

Apa pun, ketidakadilan ini jelas mempunyai banyak faktor daripada pemerintah, daripada sistem kapitalis, daripada orang elit, semuanya memainkan peranan dalam sistem keadilan sekarang ini. Jadi ternyata selepas membaca hal ini, pembaca dituntut untuk melihat semula hari-hari yang diraikan ini. Adakah hari-hari ini cukup untuk para pemerintah membuat ucapan terima kasih di media. Apakah penglabelan atau terima kasih mampu untuk disambut oleh kerja keras para pekerja?

Orang mungkin kata faktor kemiskinan kini adalah kerana krisis kesihatan yang terjadi kini. Tapi kawan, faktor kemiskinan ini terjadi dari dahulu lagi. Orang tidak mampu membayar sewa, membeli barangan rumah, membeli susu anak tidak hanya berlaku sekarang semasa isu wabak COVID-19 ini. Ini adalah kerana masalah Keadilan Pengagihan itu sendiri telah berlaku sejak awal sistem kapitalis ini terbentuk. Cuma apa yang jelas adalah, krisis sekarang ini membuktikan lagi kegagalan sistem ini. Bagaimana sistem ini tidak mampu menyelamatkan kita semua daripada jatuh dalam lembah kemiskinan.

Syawal bulan kemenangan tetapi kemenangan yang ada pada kita seringkali hanya kemenangan palsu jika masih ada orang kelaparan, masih ada orang terpaksa bekerja pada hari raya semata-mata mahukan duit lebih untuk membayar sewa, masih ada ibu yang lelah memikirkan susu anak kehabisan tetapi para elit segak memakai busana melayu, melakukan video-call bersama orang lain, gambar cium dan salam bersama keluarga dan suap menyuap rendang di mulut orang tersayang.

Selagi tiada keadilan dalam pengagihan selagi itu kita dalam perjuangan menuntut keadilan ini. Terimalah, tiada kemenangan buat kita tahun ini.

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini