DR BURHANUDDIN BIN MUHAMMAD NUR AL-HILMI (1911-1969) Warisan Wawasannya

Abdul Halim Ali
Mantan Pengajar Sosiologi dan Mantan
Setiausaha Agung Parti Sosialis Rakyat Malaysia

Apakala sesebuah bangsa menghampiri krisis sosial, malah diambang petaka politik, maka para warganya berkecenderungan menerungi persoalan: Bagaimanakah telah kita sampai dititik ini dalam sejarah kita? Persoalan demikian menjadi sangat penting kerana tidak mungkin diketahui tepatnya ke mana kita akan pergi tanpa mengetahui dari mana kita datang.

Dr Burhanuddin Al-Helmy adalah segelintir ahli fikir yang tinggi wawasannya, tetapi sayangnya dengan sistematisnya cuba disirnakan jasanya. Hal ini demikian kerana sejarah Malaysia pada ketika ini ditulis oleh sang pemenang untuk para pemenang. Jadi bersama-sama kontemporarinya seperti Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad, Ibrahim Yaakob, idea-idea mereka diremehkan begitu sahaja, ironisnya, oleh parti-parti politik yang diasaskan mereka sendiri.

Namun begitu, masih terdapat sebilangan yang menghargai jasa beliau. Satu jalan raya dan sepuluh jalan kecil dinamakan Burhanuddin Helmi di perumahan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Juga sebuah sekolah di Taiping, Perak. Di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, sebuah kolej kediaman di situ diberikan nama beliau. Di Pattani telah ditubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya Revolusioner pada 1981. Sejarah parti itu belum jelas kerana sifat gerakan bawah tanahnya. Kawasan operasinya di wilayah-wilayah Pattani.

Perjuangan Dr Burhanuddin Al-Helmy dapat dilihat daripada dua dimensi. Beliau sebagai ahli politik dan sekaligus ulama. Setelah mengikuti kursus falsafah di Muhamaddan Anglo-Indian College of Aligarh, India, maka terpancar dalam tulisan-tulisan beliau pemahamannya tentang teori politik. Terbayang di situ teori Plato yang menghendaki pemerintah itu juga seorang ahli falsafah; teori Al-Farabi yang menginginkan pemerintah memiliki sifat kebijaksanaan Nabi; teori masyarakat Karl Marx yang menemukan hukum perubahan masyarakat serta tahap-tahap perjuangan guna mencapai masyarakat idaman.

Aligarh Muslim University terdiri pada 1920 oleh Sayyid Ahmad Khan untuk mendidik orang India Muslim tentang disiplin-disiplin akademik Eropah serta warisan Islam. Universiti tersebut menjadi gelanggang politik serta pusat nasionalisme India. Nasionalisme tersebut menjadi landasan gerakan Liga Muslim SeIndia.

Apabila pengetahuan yang terpungut dari dewan kuliah tergabung secara sistematisnya dengan perjuangan praktik, maka terserlah lagi kebijaksanaan falsafah politik Dr Burhanuddin Al-Helmy itu.

Ahli sains politik, Dr Farish A Noor memerihalkan Dr Burhanuddin Al-Helmy begini: “…one of the most brilliant thinkers and political campaigners in Malaysian history, yet hardly anything has been written about him...” (2002).

Ahmad Boestamam pula  menghargai  jasa  Dr  Burhanuddin  Al-Helmy  begini:  “….Di atas segala-galanya, Dr Burhanuddin Al-Helmy adalah seorang patriot. Dan kalau kepada beliau hendak diberikan suatu gelaran, maka gelaran yang tepat, layak, dan sesuai dan hak sekali bagi beliau ialah Bapak Kebangsaan Melayu…”

Sejarawan Timothy Harper memerihalkan Dr Burhanuddin Al-Helmy begini: “Salah seorang ideologue nasionalisme Melayu terpenting.”

Saintis politik, S.M Khairudin Al Junied melakarkan watak Dr Burhanuddin Al-Helmy sebagai: “Penyumbang idea original tentang kolonialisme sambil meminjam idea para pemikir lain.”

Alur dan Arah Fikir Dr Burhanuddin Al-Helmy

Period signifikan dalam perjuangan Dr Burhanuddin Al-Helmy antara 1956 hingga beliau meninggal dunia pada 1969, iaitu period beliau memimpin Parti Islam SeMalaya (PAS). Sejak 1939, beliau menganggotai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bersama-sama Ahmad Boestamam, Mustapha Hussain, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad. PKMM adalah parti politik kiri radikal dengan pandangan politik sekular. Parti tersebut memperjuangkan Kemerdekaan Malaya, lalu, membentuk Melayu Raya, sebuah negara-bangsa impian Malaya- Indonesia.

Dr Burhanuddin Al-Helmy amat tertarik dengan doktrin politik Soekarno yang menggabungkan tri-kuasa di rantau ini, iaitu nasionalisme, agama dan sosialisme. Seperti jua halnya dengan Ahmad Boestamam yang terkesan amat dengan teori marhaenisme Soekarno, iaitu sosialisme yang dipadankan kepada kekhususan sejarah dan sosiologi Nusantara. Agar

pergabungan tri-kuasa sosial dimengertinya lagi, maka Dr Burhanuddin Al-Helmy dengan senyap-senyap menganggotai Partai Nasional Indonesia yang didirikan Soekarno sendiri. Beliau juga menganggotai Partai Sarekat Islam Indonesia dalam upaya beliau melawan penjajahan Inggeris-Belanda di Melayu Raya.

Islamisme, nasionalisme, dan sosialisme Dr Burhanuddin Al-Helmy tercermin dalam karya-karya beliau dan yang paling benderang terkandung dalam ucapan penerimaannya sebagai pemimpin PAS pada 25 Disember, 1956.

Tentang nasionalisme, Dr Burhanuddin Al-Helmy menyatakan:

“Ideologi nasionalisme atau kebangsaan ialah mencapai kemerdekaan politik, ekonomi, dan sosial, dan terdirinya kebebasan dan kemakmuran rakyat bersih dari sebarang pengaruh penjajahan.”

Apakah pendapat Dr Burhanuddin tentang sosialisme?

”Ideologi sosialisme timbul sesudah terdiri ideologi nasionalisme dan tertubuh di atas itu, menurut sifat dan muslihat sesuatu bangsa hingga tercapai pula keadilan sosial atau bentuk asas sosialisme primitif menurut perkembangan secara ilmiah (saintifik). Semua pengalaman timbul dari pengalaman- pengalaman manusia yang telah berlaku dalam proses perkembangan masyarakatnya dari zaman kuno hingga ke zaman moden ini.”

Bagaimana sosialisme menjadi salah satu kuasa penting kepada Dr Burhanuddin Al-Helmy?

Teori-teori sosialis sampai di dunia Melayu dari tiga sumber. Pertama, Eropah. Kedua, Timur Tengah. Ketiga, dari Nusantara sendiri. Dari Eropah datangnya datangnya Marxisme. Dari Timur Tengah sampai di sini Sosialisme Islam, diikuti Sosialisme Arab pada 1940an dan  1950an. Dari Nusantara telah hadir tradisi sosialis purba asli yang tertanam dan terjelma dalam hal pengurusan desa selain praktik penanaman yang berasas konsep gotong royong, tolong menolong.

Istirakiyyah yang bererti sosialisme dikatakan berakar di Timur Tengah, menurut Jamal Al-Din Al-Afghani (meninggal 1897), seorang ahli fikir dan aktivis Muslim. Menurut beliau, sosialisme tersebut adalah doktrin peribumi Arab yang terdapat dalam tradisi orang Badawi pada zaman pra-Islam. Lalu, disarankannya bahawa perancangan negara Islam terawal pada abad ke 7 memakai tradisi peribumi tersebut sebagai landasan struktur untuk maksud menyusun dan mengatur masyarakat baharu muncul pada abad tersebut.

Apa yang dipanggil sosialisme Arab terkembang setelah pecah perang dunia ke dua. Doktrin tersebut yakin bahawa hanya institusi negara yang mampu menjadi wahana utama guna mencapai kemerdekaan dan pembangunan sebuah masyarakat. Mesir, Syria dan Iraq adalah antara pendukung ideologi tersebut.

Tentang Islamisme, Dr Burhanuddin berpendapat begini: ”Ideologi Islam atau Islamisme adalah berbeza dan berlainan daripada isme-isme lain. Keistimewaan Islamisme ialah datangnya sebagai hukum yang diturunkan Tuhan yang menjadikan manusia seluruhnya dan menciptakan alam ini sekaliannya. Hukum ini tidak dapat diubah-ubah, ditukar-tukar, atau dipinda-pinda… Islamisme adalah hukum Tuhan bagi seseorang dalam perhubungan dalam masyarakat dan perhubungan dengan Tuhan.”

Dalam sejarah dunia Melayu, justeru kerana Islam mendukung doktrin Tauhid, maka dikatakan bahawa Islam turut membantu mengikis dan setelah itu merobek struktur sosial tradisional yang dikuasai sekelompok kecil orang dalam masyarakat yang disusun berdasarkan taraf atau kekuasaan – oligarkis dan hierarkis. Pengikisan oleh Islam menjadi lebih mudah kerana konsep ‘Dewa-Raja ’ adalah puncak ideologi tersebut.

Pada 1920an, Partai Sarekat Islam Indonesia melalui proses pemilihan ideologinya. Di satu pihak, Hadji Oemar Said Tjokroaminito (1882-1934) yang memberikan jawapan kepada pertanyaan: “Apakah Islam itu selari dengan prinsip sosialisme? Sejauh manakah Harakah Islamiah dan gerakan Sosialis dapat menjalin kerjasama dalam mengangkat agenda perjuangan rakyat?”

Di pihak lain, Hadji M Misbach, juga dari parti sama mempelopori aliran yang pada masa kini kita namakan teologi pembebasan. Teologi beliau menyarankan bahawa ajaran-ajaran agama tidak tercabut dari akar sosialnya apabila ajaran tadi itu sendiri dapat digunakan untuk memecah persoalan yang dihadapi masyarakat. Maka, untuk maksud itu, Hadji M Misbach menganjurkan ideologi komunisme Islam sebagai strategi perjuangan nasional melawan penjajahan Belanda. Di dalam ideologi tersebut terlihat hadirnya elemen-elemen tradisi peribumi yang asli, islam, dan Marxisme.

Meneliti tulisan-tulisan Dr Burhanuddin Al-Helmy, maka yang terlihat adalah kesan cap jari DNA Hadji Oemar Said Tjokroaminoto di situ yang oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy diolahnya menjadi satu yang original.

Dr Burhanuddin amat tajam analisisnya tentang hukum tahap perjuangan berdasarkan pengasuhan falsafah politik di Universiti dan pengalaman sosial langsungnya. Oleh kerana itu, diamatati bahawa beliau melakar prinsip strategi perjuangan tahap demi tahap; bahawa satu tahap tidak mendahului tahap lain. Pokoknya, hukum perkembangan masyarakat ada ketertibannya.

Tentang ketertiban tahap perjuangan, Dr Burhanuddin mengimbau:

”Kerana itu dalam peringkat perjuangan sekarang marilah kita mencapai dan mengisi cita-cita nasional kita bersama-sama dengan parti dan puak-puak yang lain-lain.”

Tahap perjuangan yang beliau gariskan adalah:

“Kita dari angkatan PAS melancarkan bahtera perjuangan kita menuju pelabuhan cita- cita Islam yang sangat jauh pelayarannya, tetapi kita sama-sama bertolak beriringan dengan aliran nasionalisme yang tulen dan angkatan sosialisme.”

Jadi menurut hukum perjuangan perubahan masyarakat, Dr Burhanuddin Al-Helmy mengakui: ”Angkatan nasionalisme akan sampai lebih dahulu, kemudian kita hantar dan iringkan pula angkatan sosialisme hingga sampai ke pelabuhan Islamisme.”

Tentang penggabungan tri-kuasa nasionalisme, agama, dan sosialisme, Dr Burhanuddin Al-Helmy berpendirian:

”Tenaga-tenaga nasionalisme, keagamaan dan sosialisme yang sihat dalam masyarakat hasrat kita gemblengkan, kita padukan melalui sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air.”

Tentunya terdapat perbezaan antara tri-kuasa tersebut, lalu Dr Burhanuddin Al-Helmy menegaskan persamaan dan meminimumkan perbezaan. Katanya pada ketika itu (1956): ”Dasar-dasar persamaan antara ketiga-tiga tenaga ini harus kita tegakkan dari sekarang, kita pupuk dan kita perkukuhkan dari sekarang. Dan satu dasar persamaan, satu titik pertemuan yang kukuh boleh kita tegakkan untuk mempertalikan ketiga-tiga itu…”

Menjejaki arah dan alur fikir Dr Burhanuddin Al-Helmy, mungkin dapat ditaksirkan bahawa filsafat Pancasila 1945 amat terkesan ke atas beliau. Hal ini kerana dokumen tersebut bersifat padat dan terpadu dalam usaha mempersatukan lima cita-citanya – Nasionalisme, Keperimanusiaan, Demokrasi, Keadilan Sosial, dan Kepercayaan Kepada Tuhan.

Kemudian, lima sila di atas dapat dipadatkan menjadi tiga – Sosio-nasionalisme; sosio- demokrasi; dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa – Tri Sila.

Ketiga-tiga kategori di atas seterusnya masih dapat dimampatkan lagi menjadi satu prinsip dasar kehidupan rakyat, iaitu doktrin gotong royong sebagai landasan keteraturan kehidupan ekonomi, politik dan sosial – Eka Sila.

Dalam persekitaran sosial dan lingkungan intelektual di dunia Melayu demikian, Dr Burhanuddin Al-Helmy tumbuh dalam upayanya mencari identiti.

Dengan peredaran masa, bentuk masyarakat turut berubah. Struktur kelas sosial bertambah bersama-sama sub kelasnya. Generasi penduduk baharu menggantikan yang lama. Masing-masing generasi melalui pengalaman sosial berbeza, lalu timbul kuasa sosial baharu yang bergerak menjauhi pusat atau sumbu masyarakat, iaitu kuasa sentrifugal. Pada ketika sama pula terdapat kuasa sosial yang bergerak menuju pusat atau sumbu masyarakat, iaitu kuasa sentripetal. Seringkali bertabrakan, tetapi acapkali juga kedua-duanya terselaras. Lalu, untuk mengerti lagi dinamik silang-menyilang dan simpang siuran kuasa tersebut, maka seringkali pula kita bergantung kepada kuasa-kuasa sejarah, khususnya sejarah idea. Wawasan Dr Burhanuddin Al-Helmy mungkin dapat menyumbang kepada tafsiran kita tentang landskap sosial-politik Malaysia kini.

Di Malaysia, gabungan kuasa-kuasa sosial agama, nasionalisme, dan keadilan sosial masih dapat dijadikan landasan perjuangan memantapkan kemerdekaan kita seperti yang diimpikan Dr Burhanuddin Al-Helmy dan tentu sekali dalam bentuk baharu.

Oleh kerana relatif kurangnya data tentang karier politik Dr Burhanuddin Al-Helmy, maka difikirkan bahawa pendekatan terbaik adalah ekstrapolasi, iaitu membentuk pendapat tentang sesuatu dengan memakai fakta yang tersedia dan yang dianggap absah untuk satu situasi. Lalu, diandaikan bahawa fakta tadi juga absah untuk satu situasi lain. Maksudnya perluasan informasi di luar informasi yang tersedia, namun tetap mengikuti pola kecenderungan fakta yang tersedia itu.

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini