Ketika Covid-19 Membela Kematian Si Gagak

Dilihatnya gagak yang lara

Kini kejang di parit antara pejabat pos dan pangsapuri

Disaksinya cungapan seorang pesara

Sawan seorang bayi

Di klinik yang sesak sepagi

Semakin kurang dimengerti

Inti kemakmuran jasmani

Kerana di sini hanya kawasan

Bersih bagi kehidupan cicitnya

Dituntutnya usah

Dungu mencemari rimba

Yang tak menyegari buminya

Tanpa sedia bermaruah

Beratus tahun merancangnya

Gagak Parit (1991)

Pak Samad sedang menari dengan rentak alam yang semakin hari semakin tenat dibunuh tangan-tangan kehancuran. Lalu, tarian itu berhenti dan angin sayu mula menyelinap di celah-celah ubun alam. Dibisikkan kepada semua, yang sehingga hari ini puisi ini tetap hijau namun kita masih memijak henyak helaian puisi ini.

Gagak Parit mengajarkan jeritan alam yang semakin hari semakin diasak kemajuan, pembangunan dan perindustrian. Ketika seekor gagak yang semasa hayatnya pemakan kotoran, berselera dengan bangkai-bangkai yang baunya menjerut penafasan sehinggakan haram dimakan dek sifatnya yang pengotor dan menjijikkan tidak lagi mampu bertahan dengan alam yang menyesakkan, ketika itulah-alam ini benar-benar sedang berada di hujung kemakmuran. Pak Samad mewarnakan puisi ini dengan gambaran alam yang akhirnya menyebabkan haiwan dan manusia menjadi tenat. Orang-orang tua sesak mencari nafas dan bayi kejang-kejang diserang sawan. Masyarakat dibunuh oleh masyarakat itu sendiri.

Soalnya, siapa masyarakat yang menjadi tangan-tangan pemangsa lalu akhirnya membunuh bukan sahaja binatang, tapi rakan manusia mereka sendiri. Tak usah Pak Samad terangkan, sudahpun semua orang tahu. Merekalah elit-elit kapitalis yang melakukan apa sahaja bukan demi kemakmuran alam tapi demi kemakmuran dan kemahsyuran diri sendiri.

Kata Marx, kapitalisme ialah binatang buas yang masih belum dapat diramalkan kehancurannya. Sehingga hari ini, mereka terus menarah bukit, melakukan pembalakan lalu membunuh binatang demi kepentingan peribadi. Katakan sahaja berapa banyak beg tangan hari ini adalah hasil kulit binatang? Luahkan sahaja berapa banyak hiasan rumah hari ini ialah daripada tanduk badak sumbu? Atau rusa? Atau apa sahaja binatang bertanduk yang boleh difikirkan. Katakan sahaja. Mereka berbangga-bangga dengan hasil buruan. Bertepuk tangan dengan nilai wang yang tak habis dek tujuh keturunan lantas alam ini terus-terusan jadi lubuk emas mereka.

Apanya yang salah menuai hasil bumi lalu menjadikan sumber pendapatan? Tuhan jadikan bumi ini hamparan lalu bertebaranlah manusia menuai hasil dari Tuhan. Soalnya, ketika kilang-kilang didirikan ada burung-burung yang sesak mengharap paru-paru melakukan kewajipan. Ketika sisa toksik dibuang ke Sungai Kim Kim, ada kanak-kanak dan orang-orang tua mahukan bantuan pernafasan. Dan elit kapitalis? Mereka diam sahaja dijaga dan disembunyikan punggung dari dibantai penguasa. Kehancuran demi kehancuran yang mereka lakukan, tidak pernah mereka insafi.

kredit kepada Muslimah News

Kata Pak Samad, ketika dilihatnya gagak, orang yang sudah lama mengenang usia dan bayi yang baru mahu melihat dunia diasak dengan kesakitan, semakin kurang dimengerti inti kemakmuran jasmani. Semakin tidak difahami apa lah yang mahu diranapkan lagi alam ini. Melihat penyu bertelur di persisiran pantai, ada tangan-tangan jijik yang menghalang anak-anak kecil milik si ibu penyu celik dan melihat kemakmuran alam. Alam ini dijadikan untuk manusia. Lalu, manusia yang menghancurkan.

            Gagak Parit berteriak lagi. Katanya, kerana di sini hanya kawasan bersih bagi kehidupan cicitnya. Dituntutnya usah si dungu mencemari rimba. Tanyakan kembali kepada si gagak yang sedang kekejangan menanti nafas dihentikan dengan rentapan Jibril. Siapa si dungu yang mencemari rimba? Aku? Kau? Atau kalian? Dikaburi dengan wang, lantas hutan-hutan ditebang. Dan binatang – hilang habitat dan penempatan. Dan sewaktu air bah datang dek perbuatan yang maha menyakitkan, dikatakan itu balasan Tuhan atas dosa-dosa pendosa yang tak terampunkan. Lupa kalian, dosa si dungu yang benar-benar tak dapat dimaafkan.

            Pak Samad mengakhiri tarian Gagak Parit dengan seruan kepada orang-orang yang celaka. Orang-orang yang tanpa maruah beratus tahun mencemari alam dengan perbuatan yang maha jijik. Orang-orang yang menjadikan Sungai Kim Kim bukan lagi tempat ikan bermain lumba berenang. Orang-orang yang menjadikan gajah dilanggar gergasi besi kerana hanya jalanan tempat mereka berjalan. Orang-orang yang terus-terus melakukan pembalakan dan biarkan air bah terus menelan manusia dan haiwan. Orang-orang yang membiarkan Hutan Kuala Langat dirampas kapitalis berumpankan kemewahan. Orang-orang sial yang tidak pernah sedar merekalah punca kehancuran.

            Alam sudah sekian lama menjerit-jerit mahu disayangi dan ditatang. Tak mahu lagi dia memuntahkan asid. Tak mahu lagi dia sesak dengan aliran sungai yang tersekat-sekat. Dan hari ini, ketika manusia dan kapitalis dihukum Covid 19, alam sedikit tersenyum. Meskipun pahit. Ia berseri dan menghidupkan semula sang gagak yang yang lara.

            Soalnya, entah sampai bila.

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini