Kritikan terhadap buku Francis Fukuyama. Proses evolusi manusia tidak akan pernah berakhir

Buku Francis Fukuyama yang pernah menggegarkan dunia akademik antarabangsa, iaitu The End of History and The Last Man. Buku tersebut ditulis oleh Fukuyama pada tahun 1992 yang mengangkat demokrasi liberal sebagai bentuk terakhir bagi sistem kerajaan di dunia ini, dan Fukuyama (pada ketika itu) mempercayai bahawa sistem tersebut adalah sistem terbaik sebagai kemuncak kepada segala proses evolusi peradaban manusia.

Buku ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1992, telah menimbulkan kontroversi dan perdebatan.

Maknanya, segala evolusi dunia, pengalaman sejarah, dan eksperimen manusia dengan bentuk-bentuk kerajaan terbaik akan berakhir dengan sistem demokrasi liberal juga sebagai tuntas.

Dalam diskusi tersebut, saya mengkritik tesis tersebut dengan mengatakan bahawa, proses evolusi manusia tidak akan pernah berakhir. Perkembangan pemikiran manusia akan sentiasa datang mencabar hal-hal yang bersifat “established”, justeru manusia akan sentiasa datang dengan idea dan wacana alternatif untuk memperbaharui hal-hal yang bersifat arus perdana (mainstream).

Francis Fukuyama

Ketika Fukuyama berpegang kepada takrif sejarah sebagai sebuah evolusi pembangunan ideologi sistem kemanusiaan yang mengambil kira pengalaman masyarakat sepanjang zaman sebagai kayu ukur tesisnya, tanpa sedar Fukuyama sendiri telah menjadikan takrif tersebut menyerang hujahnya kembali.

Sebabnya, banyak rujukan sejarah Fukuyama adalah sarat dengan ke-Baratan, sedangkan evolusi dan ideologi sejarah di rantau Asia Tenggara (sebagai contoh) adalah amat berbeza sekali dari banyak aspek, terutamanya aspek sejarah dan kebudayaan.

Tesisnya itu mungkin akan terpakai di Barat dengan pengalaman-pengalaman sejarahnya, tetapi sama sekali tidak akan terpakai di Asia ataupun Timur Tengah.

Di benua lain, pengalaman sejarah masyarakat memiliki nilai kebudayaan, kepercayaan sosial, sistem kemasyarakatan, dan fakta pensejarahan yang berbeza-beza. Tambahan pula, ada ketika faktor-faktor luaran turut mempengaruhi sesebuah masyarakat untuk menerima pengalaman sejarah daripada benua lain sebagai sebuah sejarah yang mereka terima sebagai sebahagian daripada masyarakat mereka.

Sebagai contoh, kedatangan Islam ke Alam Melayu menjadikan masyarakat turut menerima kedatangan fakta-fakta sejarah daripada Asia Barat seperti sejarah hidup Nabi dan para sahabat, dan sejarah Umaiyyah serta Abbasiyyah sebagai sebahagian daripada sejarah masyarakat Melayu. Sejarah-sejarah yang disebut sebagai sejarah Islam itu mempengaruhi daya fikir masyarakat Melayu nusantara lalu memberi pelbagai kesan daripada sistem kepercayaan agama hinggalah kepada kepercayaan yang melibatkan sistem politik dan sistem kebudayaan sosial.

Mungkin ramai orang mengatakan bahawa Fukuyama telah bertaubat daripada tesisnya itu (sebetulnya kalau baca buku terbarunya, Identity, Fukuyama beritahu bahawa dia sekadar menangguhkan keberjayaan ideanya itu dalam soal perlaksanaan realiti hari ini, tapi masih percaya sistem demokrasi liberal sebagai kemuncak sistem pentadbiran negara pada penghujung sejarah dunia).

Tetapi, perbincangan kritik terhadap tesisnya wajar diteruskan kerana hujah evolusi sejarahnya yang mengambil definisi daripada Hegel itu memiliki banyak pengaruh kepada banyak wacana politik ekonomi antarabangsa.

Georg Wilhelm Friedrich Hegel adalah salah seorang ahli falsafah yang paling berpengaruh pada abad ke-19. Malangnya, kerjanya amat sukar difahami. Buku ini antara yang ditulis untuk menjelaskan sumbangan falsafah utama Hegel

Kenapa saya mulakan tulisan saya dengan mengkritik tesis Fukuyama terlebih dahulu sedangkan ia adalah tesis yang telah dikritik oleh ratusan ahli akademik?

Sebab saya hendak membincangkan bagaimana wacana evolusi sejarah ini memberi pengaruh kepada wacana historiografi nusantara hari ini.

Apabila membincangkan tentang evolusi sejarah, suatu perkara yang kita perlu sedar adalah, perkembangan sejarah manusia dan hal-hal yang kontemporari itu tidak akan pernah statik dalam membentuk cara fikir masyarakatnya.

Kalau dalam sejarah Melayu – sebagai contoh – kita dapat lihat dalam tulisan-tulisan hikayat lama yang bermula daripada pemujaan dewa-dewa dengan pengaruh sastera sanskrit Hinddu-Buddha bertukar kepada hikayat yang mula semakin hilang naratif yang sebegitu dan bertukar kepada naratif yang menekankan tentang hubungan dengan Nabi-Nabi ataupun puji-pujian dalam bahasa Arab selepas kedatangan Islam.

Dengan berlalunya evolusi sejarah, kajian-kajian terbaharu pula semakin mula timbul menyanggah fakta dan naratif lama yang telah diterima seperti perbincangan semula secara kritis terhadap naratif herorisme (seperti Hang Tuah dan Hang Jebat) dan kedaulatan raja oleh Prof. Shaharuddin Maaruf ataupun sanggahan terhadap fakta pembacaan Sulalatus Salatin dan penafian terhadap kewujudan Hang Tuah oleh Prof. Emeritus Ahmat Adam.

Wacana sejarah baharu ini timbul lagi untuk mula mempersoalkan semula hal-hal kesejarahan masyarakat yang diterima secara mutlak selama ini.

Begitu juga dalam soal pemikiran manusia, di mana manusia yang dianggap sebagai haiwan berfikir (haywan an-natiq) oleh Aristotle akan terus berfikir dan sentiasa berimaginasi dan menguji dengan setiap perkara yang ada di sekeliling bagi mencipta pembaharuan-pembaharuan yang lebih progresif, memudahkan urusan manusia, dan membina kebaikan sejagat.

Proses ini tidak akan pernah berkesudahan. Hanya kerana logik manusia pada hari ini belum sampai kepada satu tingkat idea dan wacana baharu, tidak bermakna pada masa akan datang logik itu akan masih kekal sama, kerana pemikiran manusia akan sentiasa berevolusi dengan kebijaksanaan yang lebih tinggi disebabkan penghasilan ilmu baru yang tidak pernah berhenti.

Poin utama di sini ialah, manusia akan sentiasa berevolusi dalam segala perkara, terutamanya dari segi pemikiran, untuk mencerap semula terhadap segala perkara yang telah diterima oleh arus perdana (sama ada dari sudut budaya, adat, kepercayaan, agama, teknologi, pembangunan material, pentadbiran politik, ideologi, kesenian, dll) untuk mencari sesuatu yang lebih baharu dan lebih menepati semangat zaman.

Sebab itu, sukar untuk seseorang sarjana sains sosial merumuskan sesuatu perkara itu – lebih-lebih lagi yang bersifat sejarah – sebagai sesuatu yang mutlak dan muktamad.

Dunia ini tidak akan pernah berhenti daripada berevolusi, kecuali untuk orang-orang yang memang telah terbeku mindanya dengan kenangan sejarah-sejarah lama dalam era baharu (contohnya mereka yang hendak meniru sistem pemerintahan zaman Nabi pada era sistem negara bangsa zaman sekarang).

Kembali kepada perihal evolusi kesejarahan. Dengan memahami apa yang telah saya katakan di atas, maka kita harus faham bahawa perbincangan sejarah itu tidak sekadar bersifat fakta dan tafsiran kepada bukti sedia ada semata-mata. Sejarah juga membincangkan tentang bagaimana peristiwa waktu lalu itu menimbulkan sebuah wacana sosial yang mendalam. Tidak kisahlah sama ada wacana sosial itu bersifat teori mahupun kritik, tetapi wacana itu timbul hasil daripada evolusi kesejarahan yang wujud untuk menjelaskan keadaan sosial kontemporari.

Dalam membincangkan wacana kesejarahan ini, saya tidak dapat menolak bahawa antara tokoh terbaik dalam membincangkannya adalah Ali Syariati yang mendekonstruksi sejarah-sejarah Islam dan membangunkannya sebagai sebuah wacana falsafah kritik sosiologis yang kuat ataupun Syed Mohammad Naquib al-Attas yang mengembangkan sejarah Alam Melayu untuk membangunkan wacana Islamisasi Ilmu (setuju atau tidak bersetuju dengan teori Islamisasi Ilmu itu, boleh dibincangkan pada tempat lain).

The first complete translation of the masterpiece of Ali Shariati, it is not a treatise on the hajj, but a reflection by the astute haji on what the hajj means as it is performed and includes the meaning behind each and every ritual of the hajj based on the Arabic language and traditional sources.

Jadi, evolusi wacana kesejarahan ini terus berkembang dan sayang sekali kalau perbincangan sejarah itu melekat dan terikat pada hal-hal fakta atau bersifat tafsiran semata-mata. Ia harus lebih jauh daripada itu, iaitu memasuki daerah wacana falsafah sejarah yang menimbulkan kesan yang lebih kuat kepada perbincangan wacana ilmu yang lebih luas dalam bidang sejarah.

Masalah berlaku apabila sejarawan-sejarawan sekadar memerangkap masyarakat dengan fakta-fakta dan tafsiran ideologis semata-mata. Tafsiran ideologis maksudnya, sesebuah tafsiran terhadap fakta itu sekadar diperangkap oleh ideologi yang dipercayai masing-masing.

Sebagai contoh mudah: Sejarawan kanan akan menafsirkan Hang Tuah itu sebagai hero bangsa Melayu disebabkan kesetiaannya kepada raja kerana aliran kanan sentiasa berpegang kepada pengekalan norma budaya dan adat sosial. Manakala sejarawan kiri pula selalunya menafsirkan Hang Jebat sebagai hero bangsa kerana keberaniannya melawan kezaliman pemerintah dan mempertahankan sahabatnya yang dibunuh tanpa usul periksa oleh raja disebabkan aliran kanan sering berpihak kepada hak rakyat untuk bebas daripada kezaliman elit.

Sejarawan Dr Ahmat Adam berhujah bahawa pengetahuan dan pemahaman kita terhadap sejarah silam Melayu agak jauh tersasar daripada kebenaran sejarah. Juga dalam kesilapan salah menyebut nama tokoh itu sendiri: Hang Tuah. Sumber/Mediacorp

Tafsiran yang berideologis itu pada satu sisi bagus kerana merancakkan lagi wacana sejarah dengan sentiasa menimbulkan tafsiran-tafsiran yang lebih segar dan menjadi dinamik kepada proses pertumbuhan masyarakat. Tapi pada sisi yang lain pula, wacana falsafah sejarah perlu dibangunkan dengan lebih luas dengan menjadikan apa yang ada pada sejarah itu sebagai suatu bentuk kefahaman yang menjadikan masyarakat lebih mampu untuk membina sebuah masyarakat yang dapat berpegang kepada nilai-nilai kemanusiaan dengan lebih kukuh.

Sebabnya, sejarah itu adalah sesuatu yang berkait dengan peristiwa-peristiwa yang menjadikan manusia sebagai pusat utama kepada perbincangan, justeru intipatinya perlu diselongkar dan ditarik sehabisnya agar semua orang dapat memahami bagaimana sesebuah sejarah memberi erti kepada pembangunan dan kepedulian sosial.

Jika tidak, kita hanya akan membiarkan sejarah-sejarah itu dipegang oleh orang-orang yang sengaja hendak mengukuhkan tafsiran mereka demi kepentingan dan propaganda politik semata-mata.

Polimik buku teks sejarah yang berlaku pada 2018. Penulis sejarah, Ramlah Adam antara figura yang mahu mengukuhkan tafsiran mereka demi kepentingan dan propaganda politik semata-mata. Sumber/Utusan

Selain agama, perihal sejarah juga mampu dijadikan elemen sakral kepada pembinaan negara bangsa sehingga warganya terbius oleh fakta dan tafsiran yang dominan sehingga sejarawan tertentu sengaja menyembunyikan fakta dan tafsiran tertentu bagi mengukuhkan dogma propagandanya kepada masyarakat.

Seorang pelajar viral dengan sekeping gambar yang membawa mesej Nazi di majlis konvokesyen. Gambar ini mempamerkan bacaan sejarahnya yang berbentuk ekstremis dan bias melampau.

Sebab itulah banyak ketika, semakin orang membaca sejarah, semakin menjadikan mereka sebagai seorang yang rasis, ekstremis, dan apa-apa jua nilai yang menampakkan sisi kemanusiaan dalam diri mereka semakin terhakis. Sebabnya, mereka tidak disokong oleh pembacaan sejarah yang lebih menjadikan akal mereka berfikir dan tercerah.

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini