Lekan, Embun dan Kemiskinan (Ulasan Cerpen Kaki Karya Othman Rasul)

Cerpen Kaki oleh Othman Rasul merupakan sebuah karya yang enak dibaca ketika awan tidak mendung dan langit benar-benar cerah. Kerana ketika kilat mencalar langit dan bunyi guruh seperti pahlawan di medan perang, kita semua akan berlari mencari bekas untuk menakung air hujan yang masuk dari lubang atap yang ternganga. Membaca cerpen ini membawa kita semua ke sebuah ruang yang janggal. Orang-orang tertentu sahaja pernah berada dalam ruang ini. Ruang terpencil dan kecil. Sesak dan sangkak.

            Ketika membaca Embun, Lekan dan anak-anak mereka, Othman Rasul tidak lari daripada memaparkan sisi-sisi marjinal dalam kelompok yang sememangnya marjinal. Tentang rumah dan pakaian. Wang dan makanan. Pertarungan duniawi yang tak selesai. Dan apabila mati nanti, entah apa yang mahu dipakaikan. Kaki menendang-nendang pembaca dengan persoalan yang hari ini menjadi bahan cemuhan agamawan elit. (Dan meraih banyak sokongan).  

            Tatkala hujan turun, digambarkan “butir-butir hujan melurut-lurut melalui robekan-robekan atap dan memercik jatuh menimpa lantai tikar mengkuang buruk pondok itu.” Lalu, kata Embun “Gulunglah tikar tu, Zam. Jangan didedahkan. Nanti tak beralas kau tidur malam ini”. Kaki memaparkan satu wayang gambar mengajarkan orang-orang tentang keadaan orang-orang miskin. Ketika orang-orang bangsawan tidur lena dek dinginnya angin malam dan nyamannya hujan, orang-orang ini sedang tidur di atas kolam air hujan. Mujur sahaja mereka tak tenggelam.

            Pertarungan kemiskinan ialah pertarungan yang tak terlihatkan. Keadaan Lekan dan Embun dikatakan kemiskinan asset. Atau mudah untuk kalian fahami, kemiskinan keperluan asas. Lekan membesarkan keluarga di sebuah pondok buruk yang sudah tidak ada nilainya. Atap bocor dan alasnya cuma mengkuang. Apa yang Lekan miliki? Tanah? Tidak sekangkang pun miliknya. Wang? Untung-untung turun ke sungai tidak dimakan buaya, adalah makanan untuk hari ini. Orang-orang macam Lekan dan Embun tak punya apa-apa.

            Othman Rasul tidak lari dari hal-hal klise yang orang miskin sering kali ditimpa malang. Kadang-kadang, ia bukan tentang ditimpa malang. Tetapi tentang orang miskin yang tidak dapat berbuat apa-apa apabila ditimpa malang. Orang-orang yang bersarapan dengan daging wagyu, tidak tahu rasanya mendapat bisul di punggung dan tidak ada wang untuk meminta yang pakar memecahkan. Orang-orang yang melenggang lenggok dengan Hermes, tidak tahu rasanya mengejar atap yang terbang apabila malam. Mereka pernah bernasib malang, tapi tak seperti orang miskin yang malang.

            Lekan mencari wang dengan mendapatkan hasil sungai. “Anak sungai di dalam rimba itu berbuaya. Airnya keruh, hitam berlumpur. Lubuknya dalam-dalam. Daun-daun kayu yang gugur berkaparan, merimbun dan akar-akar berselirat mencengkam tebing sungai itu merupakan tempat buaya bersarang”. Apa pilihan yang Lekan ada? Melainkan merisikokan nyawa demi kelangsungan hidup? Apa lagi pilihan yang Lekan ada? Selain berusaha merubah nasib hidup? Malang. Malang sentiasa membontoti orang-orang miskin, tumbuhlah bisul di punggung Lekan hingga tidaklah ia bekerja.

            Keluarga Lekan putus sumber kewangan dan ketika itu ada anak kecil yang mahu disusukan. Ada buku sekolah yang mesti dibelikan. Dan ada perut yang mahu dikenyangkan. Kalau boleh diceritakan kepada Lekan, kau sekarang tidak dikokak buaya. Tapi, kau lemas dalam kemiskinan kapasiti. Atau kata Amartya Sen, kemiskinan kapabiliti. Kau barangkali tidak faham, Lekan. Kerana orang miskin selalu sahaja dinafikan hak pendidikan. Ketika sekolah-sekolah dibina untuk anak-anak kau, Lekan, ada orang-orang berada mahu turut sama ke sekolah yang sama, Lekan. Katanya, keadilan.

            Kemiskinan kapasiti atau kapabilti adalah tentang ketidakpastian, ketiadaan harapan dan masa depan. Tidak ketahuan ke manakah hala tuju kehidupan ini. Orang-orang miskin ini kurang pendidikan, skill dan kekuatan bekerja. Ketika punggung ditumbuhi bisul, entah apa yang diharapkan Lekan untuk hari esok? Dan kerana itu, kata Sen, kemiskinan tidak ditentukan oleh kurang atau rendahnya pendapatan wang, tetapi disebabkan oleh gagalnya individu merealisasikan potensi manusia untuk membangun kehidupan bermartabat, khususnya disebabkan kurangnya kesihatan dan pendidikan. Ada orang miskin yang sehingga kini tidak dapat membaca tulis. Tidak dapat bercakap Inggeris. Dan kerana itu, lingkaran kemiskinan mereka tak pernah terputus.

            Menyedihkan ada orang- orang yang menyebabkan ada anak kecil berkata “Ustaz kata ayah tak ambil berat pelajaran Zam. Cikgu-cikgu lain pun berkata begitu”. Namun, orang-orang macam Lekan dan Embun sememangnya sudah rentan dengan kata-kata orang. Kata Embun “cikgu-cikgu kamu tak tahukan kesusahan kita. Tapi bagus mereka berkata begitu. Tanda ambil berat. Mereka mahu kamu pandai”

            Kaki menyepak terajang pembaca yang gemar menafikan aspek psikologi dalam kalangan orang-orang miskin. Orang-orang macam Embun punya bakat untuk kebal. Kebal terhadap kekerasan, kebal terhadap penghinaan dan perlakuan yang tidak manusiawi. Entah apa lagi yang mahu mereka pertahankan? Kalau boleh Embun menjerit kepada ustaz dan cikgu-cikgu Zamri, “tidak ada orang miskin yang tidak mengambil berat akan pendidikan anaknya. Tapi cikgu, untuk apa ke sekolah kalau pendidikan tidak memberi kami makan. Lebih baik bekerja, mendapat wang dan membeli makanan” Tetapi tidak, kerana orang miskin, memang kebal tuduhan dan penghinaan, apatah lagi orang kebanyakan sudah menetapkan keputusan untuk orang miskin ; yang kemiskinan hanya bisa dilenyapkan dengan pendidikan.                    

          Kan sudah dikatakan, malang memang sentiasa menjadi ekor orang-orang miskin. Apabila Embun didatangkan dengan kaki kanan suaminya yang putus akibat dikokak buaya, hanya satu hal yang menjadi persoalan, entah apa nasib mereka selepas ini?

            Malang orang miskin dikokak buaya dan putus kaki kanannya tidak akan sama dengan malang orang kaya dikokak buaya dan putus kedua-kedua kakinya. –

Bacaan lanjut :

  1. Cerpen Kaki – Othman Rasul (Kumpulan Cerpen Suatu Subuh yang Bening)
  2. Teologi Neo Al Maun (Manifesto Islam Menghadapi Globalisasi Kemiskinan Abad 21 -Zakiyuddin Baidhawy

Kredit Gambar: Sharulnizam Mohamed Yusof

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini