Orang kita takut nak terima fakta baru, Batu Bersurat Terengganu karya Prof. Ahmat Adam tidak pernah diluncurkan

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmat Adam, seorang penulis dan sejarawan yang terkenal telah menulis karya-karya penting sejarah. Sebelum ini beliau pernah menyandang tugas sebagai Fellow Penyelidik Kanan di Oxford Centre for Islamic Studies dan juga terlibat dalam Projek UNESCO’s Maritime Silk Route.

Karya-karya yang ditulis oleh beliau dan menjadi kontroversi sehingga ramai yang bercanggah dengan pendapat beliau dan ada juga yang menolak pendapatnya. Hikayat Hang Tuha (2018) yang membawa penemuan baru dalam sejarah Melaka mengenai kewujudan Hang Tuah menjadi viral dan penuh perdebatan.

Dengan menggunakan kaedah filologi, Prof. Ahmat Adam secara kritis telah membedah isi kandungan hikayat Hang Tuah yang selama lebih daripada dua abad disalah baca dan silap ditransliterasikan ke huruf Rumi oleh para pengkaji Orientalis dan tempatan.

Setahun sebelum itu, pada tahun 2017, beliau menulis buku Batu Bersurat Terengganu: Betulkah apa yang dibaca selama ini?, diterbitkan oleh SIRD. Buku ini telah menyinggung karya Prof. Muhammad Zainiy Uthman, Batu Bersurat of Terengganu: Its Correct Date, Religio-Cultural and Scientific Dimensions (2012).

“Buku yang mengandungi 7 buah artikel (dan disertai sebuah artikel lama oleh Prof. Syed Naquib al-Attas) berkaitan dengan aspek-aspek inskripsi Terengganu itu, seperti sejarahnya, tulisan dan budayanya, sebenarnya tidak mengemukakan apa-apa yang baru kecuali huraian geologikal mengenai batu tersebut. Tafsiran matematik terhadap angka dan tafsiran mengenai tulisan Jawinya pun berasaskan transliterasi teks yang lemah.”

Katanya lagi, buku tersebut hanyalah mengulang semula pendapat dan maklumat yang didapati dari Prof. Syed Naquib al-Attas 45 tahun yang lalu. 

“Karya ini diterbitkan semula tanpa apa-apa makumat yang baru. Usaha para penulis lain, termasuk editor buku tersebut, hanyalah mengulangi hujah dan apa yang telah ditulis oleh Prof. Syed Naquib lebih daripada 45 tahun dahulu ( Lihat al-Attas, 1970)”

Batu Bersurat Terengganu karya Prof. Ahmat Adam. Beli buku ini

Ketika ditemui di Majlis Peluncuran Hikayat Raja Pasai di ISTAC-IIUM pada 19 November yang lalu, beliau memberitahu bukunya ini tidak pernah ada majlis peluncuran yang rasmi kerana ramai yang takut dan tidak berani untuk berhadapan dengan idea baru yang dikemukan di dalam buku ini.

Prof. Ahmat Adam (kanan) bersama Dato Seri Wan Azizah dan Prof. Osman Bakar ketika meluncurkan buku Hikayat Raja Pasai di ISTAC-IIUM, pada 19 November lalu

Katanya lagi, karya yang dikarang oleh Syed Naquib al-Attas itu belum sempurna katanya dan wajar untuk dipersoalkan semula selepas lebih 45 tahun lamanya. “Ramai penulis dan pengkaji menganggap transkripsi teks batu bersurat yang dilakukan oleh Prof. Syed Naquib al-Attas itu sudah sempurna dan justeru itu tidak perlu dipersoalkan.” tulis beliau di dalam bukunya Batu Bersurat Terengganu: Betulkah apa yang dibaca selama ini?

Kesilapan kita membaca Batu Bersurat Terengganu selama ini kerana kita menolak kewujudan pengaruh jawa dalam tulisan jawi yang ada pada batu bersurat tersebut. Beliau terang-terangan menolak pendapat Asmah Haji Omar yang berkata hampir keseluruhan teks Batu Bersurat Terengganu itu ditulis dalam bahasa Melayu.

“Present-day linguists working on various dialects as spoken by the native Malays in their dialect areas do not find any evidence as to the influence of Javanese on Malay [ …] The language in the Terengganu Inscription does not seem to show any influence from the Javanese sector ”

Asmah dalam Zainiy, 2012: 84

Prof. Ahmat Adam menerima latihan di maktab perguruan ialah sebagai  guru bahasa dan seni lukis sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (1967 – 1970). Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1970-1975) dan pengajar sementara di Universiti Malaya (1970) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca-siswazah di School of Oriental & African Studies, University of London, dari tahun 1970 hingga 1975.

Sekembalinya dari London beliau berkhidmat sebagai pensyarah di UKM (1975 – 1995), profesor (1993-1995), Ketua Jabatan (1983-1985), Timbalan Dekan (1987-1989) dan Dekan (1980-1991). Pada tahun 1995 beliau telah berpindah ke Sabah untuk berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas diundang khas oleh Naib Canselor pertama UMS, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abu Hassan Othman bagi merangka pembentukan sebuah pusat yang dapat menawarkan pengajian liberal. Pada 20 Februari 1995 beliau mengasaskan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa di Universiti Malaysia Sabah.

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini