POLITIK SUTAN BAGINDA

Ulasan Novel

Sutan Baginda merupakan sebuah novel yang sebenarnya masih hijau. Sayang, tulisan-tulisan berbisa sasterawan ini kurang-kurang diangkat dan digeluti oleh anak muda. Mungkin dunia sastera tertumpu pada orang-orang yang sama. Lingkungan yang sama. Dan sasaran yang sama. Di sekolah dahulu, kita diajarkan dengan komponen sastera (KOMSAS). Perbicangannya yang nyata tidak mendasar. Akhirnya, sastera dianggap picisan dan dilihat sebagai laluan untuk orang-orang yang kononnya lemah daya pemikiran.

Tetapi tulisan ini bukan untuk menyelami sastera yang semakin hilang punca dan semangatnya sebagai penggerak budaya masyarakat. Namun, ini merupakan tulisan menyingkapi idea Shahnon Ahmad dalam Sutan Baginda hasil karangan beliau. Novel yang diterbitkan pada tahun 1989 ini adalah tentang orang politik yang sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan karier politik busuknya. Politik memang kotor dan sehingga kini belum ada yang mampu membersihkan. Membuang segala hancing dan kekotoran.

Sutan Baginda memperlihatkan bahawa politik bukanlah amanah dan tanggungjawab yang perlu ditatang dan dijaga sebaiknya. Sebaliknya, politik merupakan satu medan pertempuran perebuatan kekuasaan. Nafsu dan serakah menunjangi perjalanan politik. Apatah lagi sifat malu dan segan silu ketimuran orang-orang beragama. Tinggal muka tembok dijaja-jaja dengan tebu yang tertanam di tepi bibir. Masing-masing dengan sifat tamak haloba tanpa malu membawa perut yang membusung dengan korupsi. Masing-masing bersungguh-sungguh mengangkat wajah mengampu konco-konconya. Dan apabila sudah mula berpaut pada dahan yang agak kukuh, disepak terajanglah konco-konconya. Maruah sendiri juga dipijak-pijak. Harga diri dibiarkan menyusut sehingga tiadalah nilainya. Membusuk dan hancing dengan air kencing sendiri, dibiarkan dan dibangga-banggakan. Ketika itu, keadilan, tanggungjawab dan keimanan tiada lagilah tersimpan dalam kamus hidup mereka.

Ketika membaca Sutan Baginda, diperlihatkanlah manusia-manusia busuk dalam iklim politik yang terlalu hodoh dan bodoh. Gelojoh dan tak senonoh. Sehinggakan sedarlah pembaca akan hakikat ahli politik yang sentiasa terpalit dengan kejinya najis korupsi, strategi licik dan dosa-dosa lain yang tak terampunkan. Sedang janji Allah itu pasti. Neraka itu pasti. Tinggal landasan yang mana yang mahu mereka pilih.

Shahnon mencoretkan Sutan Baginda sebagai gambaran suasana politik yang macam tahi. Fenomena ini masih terus berlaku dan saban tahun masih dapat dilihat. Ia kadang-kadang mustahil dan sukar difahami dengan hati suci, lurus dan naif. Namun, ia realiti politik yang membabi-anjingkan manusia yang lain. Kata Shahnon, orang politik melakukan apa sahaja demi kepuasan, kekuasaan dan kekayaan termasuklah :

  1. Mencairkan bibir dengan ayat-ayat ketuhanan.

Sutan, seorang ahli politik mengahwini Uji kerana Uji seorang ustazah. Menikahi, membelai dan membawanya ke syurga berahi demi balasan ayat-ayat Al Quran yang sudah menjadi kelaziman seorang ustazah. Katanya, orang-orang sekarang tak mahu liur sahaja. Orang sekarang mahu liur zamzam. Mereka mahu bukti. Mereka mahu dalil! Ketika mahu menandingi saingan politiknya, Nirwan, maka bersujudlah ia menyembah Uji meminta ayat-ayat untuk mengukuh hujah perlawanan.

“Ada ayat pendek tentang ketua yang hendak mencapai nirwana tanpa memperhitungkan rakyat dan orang bawahan. Apa Ustazah Uji boleh memberi ayat itu sekarang?”

            Teman-teman jangan salah sangka, Sutan menunggang Al Quran. Namun, ada yang menunggang Injil. Menunggang Taurat. Jangan terkejut. Mereka banyak tunggangan. Tinggal memilih dan bacakan.

  • Menikahi perempuan demi kepentingan politik.

Beginilah orang politik. Macam Sutan Baginda ;  menikahi Dahlia kerana kecerdikannya dalam dunia politik. Orang-orang politik ada yang bodoh macam keldai. Atau baghal. Untuk menjatuhkan pihak lawan, Sutan perlu strategi perlu perangkap dan jerat. Memasang umpan kepada musuh. Asalkan dia selamat. Nah, orang-orang macam Dahlia, seorang pensyarah pasti punya banyak akal. Lalu, perempuan yang dambakan seorang lelaki dinikahi digomoli diberikan kekuatan lelaki.

            Teman-teman jangan fikir ia tidak berlaku hari ini. Kadang-kadang kita berasa pelik, orang-orang politik yang berperangai keji tidak punya isteri yang menegurkah? Jangan-jangan isteri mereka yang sama-sama memberi buah fikir.

  • Memberi rasuah dan mengamalkan kronisme.

Kalian sudah pasti tahu akan hal ini. Mengimani korupsi dan mengamalkan kronisme adalah hal yang popular dalam kalangan mereka. Sutan menggunakan Fidah, mengumpan Fidah agar diberikan peluang dan ruang untuk mengembangkan karier seni. Imbalannya, melayan Fidah sebagai pelacur kelas atasan dan meminta perempuan itu memerangkan seteru politiknya dengan skandal seks.

            Teman-teman, skandal seks ialah tabu dalam masyarakat. Menggunakannya seolah-olah Jackpot! Untuk apa? Apa lagi kalau bukan untuk kuasa dan kekayaan? Mana mungkin menggunakan skandal seks untuk mengangkat kemiskinan. Karut!

  • Melompat ke sana ke sini.

Tidak aneh. Dan bukan baharu. Sutan Baginda melompat macam katak dari teratai parti yang satu ke teratai yang lain. Tiba-tiba menyokong yang ini, eh hari esok menyokong yang lain pula. Mula-mula berpaut pada dahan yang sama, eh hari esok sudah dipatahkan dahan biar yang lain jatuh terhempas ke lantai bumi.

            Teman-teman ini Sutan Baginda, watak fiksyen ciptaan Shahnon Ahmad. Kalau boleh kalian senaraikan katak-katak poltik hari ini, pasti berjela dan tak dapat diingat satu persatu. Katak-katak ini beranak pinak. Dari yang tua berebut kuasa hingga yang muda belia. Menakutkan.

  • Tak takut Tuhan.

Kalau mereka takut Tuhan, takkan mereka tamak kekuasaan. Khalas!

            Apa yang pasti, Sutan Baginda ialah cerminan ahli politik. Ditulis oleh seorang sasterawan yang pernah berenang dalam lautan politik. Lautan yang tercemar, penuh dengan sampah sarap dan busuk sekali. Lautan yang keji dan penuh dengan kemungkaran. Kalau seluruh isi alam membersihkannya sekali pun, ia tetap berbau hancing dan penuh dengan kekotoran. Selamat datang ke dunia politik!

Bacaan lanjut : Sutan Baginda (SN Shahnon Ahmad)

Kredit Gambar: Shopee Malaysia

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini