Si elit Pemerintah yang tamak laba.

Hampir hari-hari, sejak Perdana Menteri Malaysia berubah, berita tentang penukaran kekuasaan GLC diumumkan. Dilihatnya seperti lebih banyak orang-orang elit mendapat laba daripada orang bawahan yang dalam kesusahan, malah seperti jatuh ditimpa tangga masyarakat dibiarkan sepi. Kejatuhan ekonomi sekaligus krisis kesihatan langsung tidak memberi sedikit pun rasa prihatin para elit pemerintah.

Dalam buku Justice yang ditulis oleh Michael J. Sandel seorang pensyarah undang-undang di Oxford, persoalan pertama tentang keadilan yang diangkatnya adalah – Do the right thing. Isu pertama diangkat adalah persoalan tentang orang yang mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain yang pernah menjadi perdebatan di antara masyarakat yang merasakan ia adalah penindasan, tidak bermoral dan tamak – tetapi ahli politik merasakan ia tidak bermasalah di dalam dunia demokratik dan pasaran bebas ini.

Kredit Gambar: StuDocu

Apa pun, setiap perdebatan haruslah diakhiri dengan satu prinsip untuk berdiri dengan mereka yang ditindas. Akan tetapi masalah dengan masyarakat kita adalah penindasan ini sering kali dikatakan tidak wujud malah falasi semata-mata. Bagi mereka, mana mungkin ada penindasan padahal ramai yang hidup tenang, tidak berbalah dan tiada lagi orang mati kerana kelaparan. Malah, kemungkinan besar mereka akan memikirkan tidak wujud penindasan ini selagi mana gedung-gedung dipenuhi orang, kereta meluncur laju gah di lebuhraya dan universiti-unviersiti masih berdiri teguh dengan kedudukan mereka.

Namun, melihat kepada senario di atas, pernahkah mereka berhenti hanya melihat tetapi memilih untuk bertanya dan memahami? Disebalik ramai orang di gedung, kebanyakan pekerja cuma bergaji sejam lima ringgit – mereka yang berkereta meluncur laju mempunyai hutang bank yang sangat tinggi tetapi terpaksa menjadi masyarakat konsumer kerana kelemahan sistem perkhidmatan awam – ramai mahasiswa tidak dapat mencari pekerjaan, tidak dapat belajar kerana kekurangan akses – malah lebih jelas dalam ketiga-tiga ini ada kelas yang lebih rendah iaitu mereka yang bekerja mencuci tandas, menyapu daun-daun ditepi jalan, lap dinding-dinding yang berhabuk – tetapi langsung tidak diperhatikan masyarakat apatah lagi elit pemerintah.

Barangkali benar kata Azizi Hj Abdullah – Manusia sudah banyak mengorbankan manusia. Manusia sudah ramai yang membunuh manusia. Manusia sudah tiba kepada tahap, esok mahu makan siapa! – Begitulah nampak keadaannya kini. Lahirnya masyarakat individualistik dalam kehidupan pra-moden kini sehinggakan hal-hal kemasyarakatan yang lebih besar ini tidak dipandang berat.

Disaat kita masih di bawah takluk sistem feudal, elit pemerintah juga merupakan mereka yang menguasai hasil mahsul ekonomi. Lihat sahaja dalam sejarah Semenanjung Malaysia yang digambarkan di dalam Perang Saudara Selangor antara Raja Mahadi dengan Raja Abdullah dan seterusnya Raja Ismail kerana berebut jawatan Penghulu Kelang. Jelas sekali, bagaimana perebutan dan pergaduhan ini adalah kerana hasil Pelabuhan Kelang ini merupakan salah satu pelabuhan yang paling banyak menyumbang keuntungan.

Kini pula, dibawah sistem yang kononnya demokrasi kerana individu pemegang kuasa sering digantikan tetapi masih lagi kekuasaan ini diletakkan dalam konsep yang sama untuk memungut hasil mahsul ekonomi melalui syarikat-syarikat tersebut iaitu digelar kini sebagai GLC. Bayangkan saja, siapa yang tidak mahu menjadi CEO di syarikat GLC jika gaji sebulan adalah sebanyak RM903 ribu yang bersamaan dengan RM10.84 juta setahun?

Jelas, kedua-dua zaman di atas walaupun sistemnya berlainan tetapi tema ketidakadilan itu sama. Tiada keadilan pengagihan dalam masyarakat. Mereka yang memegang kuasa bukan untuk melakukan kerja tetapi mengutip lapa. Makanya, memetik kata-kata Faisal Tehrani dalam artikelnya di Malaysiakini “orang yang diminta menjaga GLC itu kerjanya semacam al-Amin, orang terpercaya – yang diberikan amanah” –  Se-amanah mana pun seseorang penjaga itu selagi mana tidak ada keadilan pengagihan tidak berguna kita mengangkat orang yang kononnya paling benar dan sesuai ke atas kerana pengagihan itu tidak ada. Yang miskin tetap miskin dan yang kaya makin kaya. Lebih berat kini, orang yang diangkat pun kebanyakan tidak mempunyai merit tetapi cuma perlantikan politik untuk menjustifikasikan kedudukan elit pemerintahan kini.

Gambar Utama kredit: KINCIR.com

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini