Sultan Muhammad Shah Tidak Wujud, Sultan bermimpi dengan Nabi juga adalah rekaan penulis Melayu

Hikayat Raja Pasai adalah karya Melayu klasik yang boleh dibanggakan. “Perkembangan bahasa dalam karya ini sudah mencapai tahap yang sangat memberangsangkan, kerana ia boleh diperjelaskan pada hari ini dengan sangat baik” kata salah seorang panel di Majlis Peluncuran dan Diskusi buku Hikayat Raja Pasai yang diadakan di ISTAC-IIUM semalam.

Hikayat Raja Pasai  sering dianggap sebagai karya pertama sastera klasik Melayu oleh kebanyakan sarjana yang meminati ilmu pengajian Melayu. Karya ini mengisahkan masyarakat Melayu dan orang-orang Istana di Pasai yang ditulis menggunakan bahasa Melayu dalam tulisan Jawi. 

Tidak dapat dipastikan tarikh awal hikayat ini ditulis.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmat Adam, penterjemah & penyunting Hikayat Raja Pasai

Dalam diskusi buku yang turut diadakan sebelum majlis peluncuran semalam, Profesor Ahmat Adam juga mengulas mengenai cara kita membaca hikayat-hikayat lama Melayu. Katanya hikayat tidak boleh dibaca secara literal, kita perlu melihat kepada maksud disebaliknya dan juga simbol-simbol yang digunakan dalam teks sastera Melayu klasik itu.

“Bila membaca hikayat, kita tidak boleh membuat tafsiran literal. Itu penting. Hikayat Raja Pasai hanyalah satu cerita sahaja yang menunjukkan kerajaan Pasai memeluk Islam. Dan pengarang sejarah-sejarah Melayu meniru karya ini. Mengatakan, Sultan Muhammad Shah itu bermimpi bertemu dengan Nabi dan saya menggangap Sultan Muhammad Shah itu watak mitos juga. Tidak wujud Sultan Muhammad Shah kalau kita kaji sumber-sumber dari tulisan China.”

Tambahnya lagi

“Sebenarnya tujuan pengarang Melayu ialah untuk merujuk kepada Parameswara, bahawa Raja pertama Melaka itu masuk Islam dan mengambil nama Muhammad. Saya setuju dengan pandangan Profesor Syed Naquib, kalau raja itu masuk Islam, dia akan memilih nama yang paling unggul sebab Muhammad itu ertinya ‘Yang Terpuji’. Jadi Sultan Muhammad Shah itu adalah watak rekaan. Sebab itu saya katakan kalau membaca naskah manuskrip Melayu harus melihat disebaliknya, simbolismanya, bukan tafsiran secara literal.”

Hikayat Raja Pasai, belum pernah dikaji secara mendalam oleh sejarawan walaupun  tela’ah demi tela’ah telah dilakukan terhadapnya sejak pertengahan abad ke-19 oleh pengakaji-pengkaji dari barat. Penerbitan edisi terbaru karya yang melakar zaman awal kedatangan Islam di Sumatera Utara oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam ini adalah percubaan terkini beliau untuk mengetengahkan beberapa tafsiran baru mengenai karya klasik Melayu yang belum pernah diungkapkan oleh mana-mana kajian; satu daripadanya ialah aspek tasawuf di dalam karya itu. 

Sejarawan Prof. Ahmat Adam (lahir Mac 24, 1941) terkenal dengan karyanya, The Vernacular Press and the Emergence of Indonesian Consciousness (1855-1913) (1995). Sebuah lagi karyanya, Letters of Sincerity The Raffles Collection of Malay Letters (1780 -1824) (terbit 2009), iaitu mengenai warkah Melayu, yang turut menyentuh makna huruf-huruf tertentu al-Quran dan erti angka dalam perlambangan sufi, sekali lagi menjadi rujukan dalam perbincangannya mengenai aspek tasawuf yang terdapat dalam karya sastera sejarah yang diketengahkan ini.

Seperti biasa, sikap kritis beliau terhadap kajian mengenai manuskrip Melayu pada masa yang lepas-lepas  ditunjukkan lagi dalam penulisan buku ini. Seperti dua karyanya sebelum ini yang menjadi kontroversi, Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa yang dibaca selama ini? dan Hikayat Hang Tuha.

Hikayat Raja Pasai diluncurkan oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismai semalam di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC-IIUM). Turut bersama di dalam majlis peluncuran itu adalah Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar – penyandang kedua Kursi Al-Ghazzali di ISTAC.

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini