Tiada Paksaan dalam Agama

Menurut Taha al-Jabir al-Alwani dalam kitabnya, “La Ikraha fi ad-Din” adalah ayat yang paling sering digunakan oleh golongan agamawan dan penguasa untuk mengawal masyarakat mengikut apa yang mereka inginkan. Selalunya ayat ini diterangkan hanya terpakai untuk bukan muslim sahaja dan tidak terpakai untuk muslim. Jika ada seseorang muslim yang ingin keluar dari agama Islam, maka hukum yang sering dilaungkan kononnya adalah dibolehkan untuk membunuh Muslim tersebut kerana Muslim tersebut telah mengkhianati agamanya dan untuk mengelakkan orang lain mengikut perbuatan yang sama.

Bagaimana hukum ini boleh terlahir sedangkan Islam adalah agama penyucian bukan pengkafiran dan Islam sangat mementingkan nyawa manusia? Ia sepertinya ada percanggahan antara kedua-duanya sedangkan dalam Al-Quran tidak ada menyebut tentang hukuman bunuh terhadap muslim yang ingin keluar dari Islam. Majoriti ulama juga telah mengehadkan perbicaraan mengenai hukum murtad ini dengan menggunakan kata sepakat bahawa semua ulama telah bersetuju dan mencapai ijma’. Hal Ini telah membuatkan masyarakat Muslim mengabaikan pandangan-pandangan lain yang berpendapat bahawa tidak wajib penghukuman bunuh terhadap Muslim yang keluar Islam seperti Umar bin Al-Khattab, Ibrahim al-Nakha’i dan Sufyan al-Tsauri. Hal ini juga telah menutup pintu ijtihad ulama-ulama mendatang yang kritikal ingin mengkaji persoalan berkenaan hukuman murtad ini.

Kebanyakan hukum agama diambil secara literal sedangkan dalam mengambil sesuatu hukum dari Al-Quran perlulah mengikut konteks asbabul nuzul kenapa ayat itu diturunkan dan adakah ianya sesuai untuk diaplikasikan pada zaman sekarang. Kesan apabila ayat Al-Quran diambil secara literal oleh para agamawan ini akan mengakibatkan pandangan masyarakat terhadap sesuatu hukum itu menjadi sempit. Contohnya ayat berkenaan kisah kaum Nabi Lut yang tafsirannya diambil secara literal tanpa memahami konteks yang lebih terperinci menyebabkan seseorang yang mempunyai orientasi seksual selain heteroseksual adalah buruk sehingga boleh menyebabkan keselamatan mereka terancam dan hak mereka diabaikan.

Contohnya, pada tahun 2018, terdapat banyak kes yang direkodkan di media berkenaan “mak nyah”  cedera dan ada yang mati di belasah dan diserang oleh sekumpulan lelaki dan terdapat satu kes budak sekolah mati dibunuh oleh ibu dan teman lelakinya kerana mengesyaki budak tersebut ialah seorang homoseksual. Hal ini terjadi kerana para agamawan tidak melakukan pekerjaan mereka dengan sebetulnya dalam mendidik masyarakat sedangkan apa yang mereka harus lakukan adalah menyampaikan ajaran agama itu dengan jujur dan mengikut disiplin ilmu yang betul, bukannya mengikut pemahaman yang simplistik dan untuk meraih pengaruh yang banyak.

Agama seharusnya membebaskan manusia itu dari segala bentuk penindasan, namun seringkali yang terjadi adalah sebaliknya. Seringkali kita mendengar tentang pandangan agama jika dikaitkan dengan pandangan Karl Marx yang mengatakan bahawa agama adalah opium bagi masyarakat. Inilah ayat yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang semula pemikiran Marx dan Marxisme. Namun begitu, jika kita melihat keseluruhan ayat Marx yang berbunyi ” Agama adalah desah napas keluhan dari makhluk yang tertekan, hati dari dunia yang tak punya hati, dan jiwa dari kondisi yang tak berjiwa. Ia adalah opium bagi masyarakat”.  Ia bermaksud agama ini ibarat opium untuk orang yang sakit atau terluka. Fungsi opium adalah sebagai mengurangi rasa sakit kepada luka tersebut dan seolah-olah satu “escapism” kepada dunia realiti yang penuh dengan penindasan dan kedukaan dalam menghadapinya. Kita harus melihat pandangan Marx ini berdasarkan konteks sejarah pada abad 19, di mana Marx melihat bahawa agama ini dijadikan alat oleh golongan gereja dan penguasa terhadap rakyat demi kepentingan mereka sendiri dengan menggunakan konsep teologi berkenaan pahala dan dosa. Marx dan temannya Engels berpendapat bahawa agama itu seharusnya dijelaskan melalui konteks kondisi sosial dan ekonomi. Lebih tepatnya keberagamaan itu merupakan sebuah produk sosial dari situasisosio-historis tertentu.

Sebenarnya pandangan Marx ini relevan sehinga sekarang kerana di Malaysia inilah yang berlaku pada abad ke-21 ini. Para penguasa dan agamawan menggunakan isu agama ini untuk meraih undi masyarakat ketika pilihan raya dan untuk meraih pengaruh politik mereka. Agama telah dipolitisasikan dan bukan lagi untuk mengeluarkan masyarakat dari kemiskinan atau membantu masyarakat untuk menerima perbedaan identiti, kaum dan juga gender. Menurut Dr Azhar Ibrahim pensyarah di National University of Singapore yang pakar dalam Melayu Nusantara mengkalisifikasikan orientasi Islam kepada lima.  Antaranya adalah Islam Sufism, Islam Feudal, Islam Humanis, Islam Ortodox dan Islam Rakyat. Orientasi-orientasi ini saling bertarung dan di Malaysia orientasi Islam feudal adalah yang paling terkehadapan. Islam feudal bermaksud agama Islam itu dipegang oleh para pemerintah dan mereka lah yang memilih Islam bagaimana yang harus disampaikan kepada masyarakat umum.

Contohnya teks-teks khutbah di setiap negeri disediakan oleh penguasa dan bukanlah dari para ustaz yang menyampaikan khutbah tersebut. Jadi, di situ kita boleh lihat bagaimana penguasa mengawal ajaran agama yang sampai kepada masyarakat dan ianya adalah agama yang literal. Bermaksud agama yang hanya mementingkan halal dan haramnya sahaja dan bukanlah agama yang kritis. Maka jadilah pengambilan hukum-hukum agama yang diambil secara literal tadi. Banyaknya cerama-ceramah dan khutbah di masjid hanya menyentuh berkenaan isu hudud, haram dan halal sesuatu perbuatan atau kebendaan, murtad, perkauman, isu adab dan ritualnya sahaja.

Sedangkan jika kita merenung kembali sejarah ketika Nabi Muhammad pertama kali menjadi Rasul, perkara yang pertama sekali baginda lakukan adalah mengangkat hak-hak perempuan yang tertindas, membebaskan pemikiran manusia dari pemikiran taghut (kepercayaan selain dari Tuhan) dan secara keseluruhannya mengangkat keadilan sosial yang begitu runcing ketika itu. Namun di Malaysia begitu berbeda sekali, para agamawan kebanyakannya adalah seseorang yang kaya dengan kereta mewahnya dan masyarakat pula masih ramai yang miskin dan mempunyai gaji yang rendah di bawah paras gaji minimum. Jadi adakah sebenarnya para agamawan ini betul-betul ikhlas dalam memahami dan menyampaikan ajaran agama untuk kebaikan masyarakat atau hanya untuk kepentingan ekonomi mereka sahaja?

Akhir sekali, dalam menghadapi segala kerumitan dan permasalahan tentang banyaknya salah faham ajaran agama khususnya agama Islam ini adalah dengan mengembalikan semula budaya pembacaan dan perbincangan yang kritis berkenaan apa sebenarnya yang Allah ingin manusia itu faham tentang agama ini dan apa yang penting ditekankan dalam agama agar kita tidak menjadi seperti orang yang dikatakan dalam hadis Nabi Muhammad yang berbunyi “agama seseorang manusia itu adalah kemampuannya untuk memahami dan sesiapa yang tidak punyai kemampuan untuk memahami tidak ada agama baginya”.

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share supaya lebih ramai tahu berita ini